top of page

BAB 10 : SEKOLAH DAN PERSEKITARAN

  • assyahindah01
  • Dec 25, 2021
  • 5 min read

Updated: Jan 13, 2022





1.0 PENDAHULUAN


Sekolah ialah bangunan atau tempat yang berfungsi memberikan pendidikan khusus kepada kanak-kanak bermula dari peringkat pra-sekolah, sekolah rendah, sekolah menengah seterusnya ke peringkat yang lebih tinggi. Secara literal, Kamus Dewan mendefinisikan terminologi sekolah sebagai satu tempat untuk belajar dan juga mengajar. Antara peranan utama sekolah ialah untuk memberikan pendedahan dan latihan kepada pelajar. Pelajar yang terdedah kepada ilmu pendidikan ini akan belajar untuk berfikir secara kritis dan kreatif, manakala latihan pula bertujuan untuk melatih kemahiran teknikal psikomotor seseorang pelajar. Ia juga berperanan sebagai satu platform bagi perkembangan interaksi sosial, pengurusan tingkah laku dan disiplin (moral) serta penerapan nilai-nilai budaya masyarakat. Manakala, Kamus Online DBP (2017) mentakrifkan persekitaran sebagai kawasan yang berada di sekeliling sesuatu tempat. Adapun persekitaran sekolah membawa maksud suasana atau iklim sesebuah sekolah. Persekitaran sekolah ini dibahagikan kepada dua iaitu fizikal dan juga psikososial. Kedua-dua persekitaran ini amat mempengaruhi prestasi pelajar secara menyeluruh sama ada dari aspek akademik, sahsiah, jasmani serta kokurikulum. Terdapat isu-isu yang dibangkitkan bagi melihat hubungkait antara sekolah dan juga persekitaran.



2.0 ISU-ISU PERSEKITARAN TERHADAP SEKOLAH


2.1 PENGARUH PERSEKITARAN TERHADAP PENCAPAIAN PELAJAR


Isu pertama ialah pengaruh persekitaran sekolah terhadap pencapaian pelajar. Seperti yang telah disebut di atas, terdapat persekitaran fizikal dan juga persekitaran psikososial. Persekitaran fizikal ini merupakan semua aspek-aspek fizikal seperti bilik darjah, kemudahan atau kelengkapan di dalam dan di luar bilik darjah serta bahan pengajaran. Ia juga termasuk perkara-perkara yang boleh dirasai dan ditemui seperti cahaya, kualiti udara, teknologi serta keadaan-keadaan fizikal itu sendiri seperti penyusunan dan kedudukan perabot. Aspek-aspek ini berperanan menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung dengan selesa sekaligus menyumbang kepada prestasi pelajar yang memuaskan. Di samping memastikan keselamatan pelajar terjamin, ia juga dapat menyumbang kepada keharmoniaan dan kreativiti pelajar. Guru-guru memainkan peranan yang penting dalam memastikan suasana sekeliling sentiasa berada dalam keadaan teratur. Hal ini termasuklah sama ada dalam menguruskan bilik darjah, bilik pembelajaran lain seperti bengkel, dan lain-lain lagi.

Tamsilnya, dari aspek pencahayaan. Terdapat sekolah yang bergantung sepenuhnya terhadap pencahayaan dari lampu neon tanpa adanya pencahayaan semula jadi. Hal ini mungkin disebabkan oleh ruang dan saiz keadaan bilik darjah atau tingkap bilik darjah yang dihalang oleh bangunan lain. Keadaan ini menyebabkan pelajar tidak dapat menumpukan perhatian dengan baik kerana tidak mendapat kuantiti pencahayaan yang sepatutnya, seterusnya menggangu proses pembelajaran dan membawa masalah kepada pencapaian pelajar. Manakala persekitaran psikososial pula merangkumi pelbagai jenis interaksi yang berlaku antara pelajar dengan sekeliling, iaitu sama ada pelajar dengan pelajar, pelajar dengan guru dan pelajar dengan persekitaran. Sebagai contoh, interaksi guru dan pelajar menjadi salah satu interaksi yang amat penting dalam memastikan penyuburan budaya ilmu dalam kalangan pelajar. Hal ini termasuklah bagaimana gaya kepimpinan (organisasi dan kepimpinan) dan kaedah pengajaran yang digunakan seseorang guru (interaksi dalam pembelajaran) semasa proses pembelajaran berlangsung. Ia juga turut meliputi persekitaran pembelajaran dalam aspek keselamatan, kesihatan, kemesraan, keceriaan, kawalan disiplin dan unsur kemanusiaan yang lain. Dengan adanya interaksi yang harmoni, ia berupaya membantu pelajar mengasah kemahiran, meningkatkan potensi diri serta berusaha mengeksploitasi kelebihan diri secara maksimum. Hal ini melahirkan pelajar yang tidak gentar menghadapi cabaran serta bersungguh-sungguh dalam mencatat prestasi sekolah yang cemerlang. Rumusannya, kedua-dua persekitaran ini mempunyai peranan yang tersendiri dalam membantu pelajar meraih keputusan yang membanggakan sama ada dalam bidang akademik atau ko-kurikulum.


2.2 HUBUNGAN MASYARAKAT DENGAN PIHAK SEKOLAH


Isu kedua pula berkenaan hubungan masyarakat dengan pihak sekolah. Masyarakat dapat didefinisikan sebagai sekumpulan manusia yang hidup bersama. Berdasarkan Kamus Online DBP (2017) pula, masyarakat membawa erti satu komuniti manusia yang hidup bersama di suatu tempat dengan cara yang tertentu. Dalam tajuk ini, masyarakat boleh dirujuk kepada sekumpulan individu yang berada di luar sekolah iaitu ibu bapa, badan-badan berkanun seperti Lembaga Tabung Haji (LTH), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Pasukan Bomba, Polis serta badan-badan bukan berkanun, syarikat-syarikat swasta yang lain seperti Syarikat Muda Osman (SMO), Nestle dan sebagainya. Masyarakat berperanan dalam membantu pihak sekolah menangani gejala sosial dalam kalangan para pelajar dengan lebih efektif. Penglibatan komuniti-komuniti luar dalam memberikan khidmat kepada sekolah menyumbang kepada pelbagai manfaat kepada pelajar dan juga sekolah.

Antara contoh aktiviti dan program yang dianjurkan oleh masyarakat luar adalah seperti program Mari Menabung (Lembaga Tabung Haji / Agro Bank), Latihan Keselamatan dan Kebakaran (Bomba), Kem Motivasi daripada syarikat persendirian, Kempen anti-Dadah (LADK), dan sebagainya. Aktivi-aktiviti yang dianjurkan seperti ini sedikit sebanyak membantu memberikan pendedadahan secara realiti serta dapat mewujudkan persekitaran baru kepada pelajar dalam berinteraksi sesama masyarakat luar. Selain itu, melalui aktiviti ini juga pelajar dapat membina jati diri, lebih berdisiplin serta memperkembangkan lagi potensi secara menyeluruh. Perkara ini secara tidak langsung dapat melahirkan generasi pelajar yang berilmu serta berkemahiran sekaligus dapat meningkatkan prestasi sekolah.


2.3 HUBUNGKAIT PIBG DALAM MENINGKATKAN PRESTASI SEKOLAH


Akhir sekali ialah isu berkaitan pengaruh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) terhadap prestasi sekolah secara menyeluruh. Menurut Akta Pendidikan Kementerian Pelajaran Malaysia 1996, PIBG ini telah diperkenalkan di semua sekolah kerajaan. Hal demikian bertujuan merealisasikan matlamat pengajaran serta pembelajaran di bawah kerjasama pihak guru dan ibu bapa. Selain itu, PIBG merupakan salah satu sumber kewangan bagi memperelokkan lagi fasiliti-fasiliti dan juga kelengkapan sekolah untuk kegunaan murid seperti kemudahan peralatan, bahan-bahan pembelajaran dan juga kelengkapan bahan bacaan (pengurusan sumber). Di samping itu, PIBG ini juga berperanan membantu pihak sekolah dalam memelihara kebajikan pelajar serta membantu memenuhi keperluan pelajar dalam pembelajaran. Tamsilnya, bagi memastikan para pelajar mendapat keputusan yang cemerlang, aktiviti-aktiviti seperti program motivasi,seminar ataupun bengkel boleh dianjurkan oleh PIBG. Dengan adanya program seperti ini, ia dapat memberi kesedaran kepada pelajar serta menambahkan lagi minat untuk belajar. Bagi aspek moral pula, PIBG juga bertujuan untuk membantu pihak sekolah dalam menangani pelajar yang bermasalah dengan mengadakan sesi kaunseling, program pemulihan akhlak, kem bina semangat dan pelbagai lagi program yang bertujuan membentuk sahsiah dan tingkah laku pelajar ke arah yang lebih baik. Penglibatan PIBG dalam sekolah bukan sahaja dapat membina generasi pelajar yang cemerlang secara menyeluruh, malahan ia dapat mewujudkan kesefahaman yang harmoni antara para guru dan ibu bapa. Apabila situasi ini berlaku, segala permasalahan yang timbul dapat diselesaikan dengan baik serta dapat merealisasikan pembangunan modal insan secara menyeluruh. Ringkasnya, PIBG memberikan pengaruh yang besar dalam membantu meningkatkan prestasi pelajar dan sekolah secara menyeluruh.


3.0. RUMUSAN


Kesimpulannya, pencapaian atau prestasi sesebuah sekolah itu bergantung kepada persekitaran sekelilingnya. Setiap pihak tidak kira pihak sekolah, ibu bapa, masyarakat luar atau setempat haruslah bersama-sama berganding bahu bagi mewujudkan suasana dan iklim sekolah yang kondusif. Hal ini kerana sekolah merupakan tempat seseorang individu menerima ilmu dan membentuk sahsiah. Suasana sekolah yang selesa dan mesra belajar amat diperlukan dalam usaha membangunkan insan yang cemerlang dari segenap aspek. Dengan wujudnya generasi yang berintelek, berakhlak serta berilmu, ia bukan sahaja dapat meningkatkan prestasi sesebuah sekolah namun dapat membangun insan secara menyeluruh sekaligus dapat merealisasikan apa yang dikehendaki oleh Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) negara ini.


Sekian, terima kasih.


RUJUKAN :


Kamaruddin Husin. (1995). Dinamika sekolah dan bilik darjah. Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd., Kuala Lumpur.


Kamus Online DBP. (2017). Sekolah. Dalam laman sesawang Dewan Bahasa dan Pustaka. Diperoleh pada Disember 04, 2021, daripada https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=sekolah

BAB 10 AHLI LAIN

AHLI PERTAMA

(NUR SYAHMI BINTI ARIFIN)


AHLI KEDUA

(NOELLYN RAJ A/P RAJASINGAM)


AHLI KETIGA

(FATIMATUL NAFISA BINTI SHAIFFUDDIN)


AHLI KEEMPAT

(NUR SYAHIRAH BINTI ZAINUDDIN)


AHLI KELIMA

(NUR ZULAIKHA BINTI CHE ZAKARIA)



BAB-BAB BERKAITAN YANG DIRUJUK:

BAB 1 : ORGANISASI DAN KEPIMPINAN



BAB 2: PENGURUSAN MURID



BAB 3: PENGURUSAN BILIK DARJAH



BAB 4: PENGURUSAN SUMBER


BAB 5: STRATEGI MENGURUS BILIK PEMBELAJARAN


BAB 6: PENGURUSAN TINGKAH LAKU DAN DISIPLIN


BAB 7: PENGURUSAN PENASIHATAN MURID


BAB 8: PENGURUSAN PELBAGAI BUDAYA


BAB 9: PENGURUSAN MURID PELBAGAI UPAYA


BAB 11: PENGURUSAN ALAM PEMBELAJARAN


BAB 12: INTERAKSI DALAM PEMBELAJARAN







Comentarios


Post: Blog2_Post

Follow

  • Facebook
  • Twitter
  • LinkedIn

©2021 by My Site. Proudly created with Wix.com

bottom of page